Jepun teraju sektor e-dagang antarabangsa - Utusan Malaysia

Jepun teraju sektor e-dagang antarabangsa

Yoshihide Suga menyampaikan ucapan secara maya dalam Dialog CEO APEC 2020 semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jepun akan menerajui penggubalan peraturan antarabangsa berkaitan perdagangan digital di bawah konsep Aliran Bebas Data dengan Kepercayaan (DFFT) selain memainkan peranan utama dalam rundingan e-dagang bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga berkata, selain terus mempromosikan reformasi dalam DFFT dan WTO, Jepun akan meneruskan usaha mewujudkan kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru dimuktamadkan.

“Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) adalah kerangka penting yang mempromosikan liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta pengukuhan hubungan sesuai dengan peraturan antarabangsa di rantau Asia Pasifik malah kekuatan APEC juga datangnya daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

“Jepun bersama APEC bertujuan mewujudkan ekonomi dan masyarakat yang lestari menentang semua bentuk krisis di mana semua orang bakal mendapat faedah pertumbuhan ekonomi.

“Saya berpandangan transformasi dan inovasi digital akan menjadi kunci kemakmuran ekonomi di rantau ini,” katanya semasa sesi Dialog CEO APEC Malaysia 2020 bertajuk Memulakan Semula Pertumbuhan Asia Pasifik di sini semalam.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri sejak September lalu berkata, di tengah-tengah kemelesetan ekonomi yang dihadapi Jepun, Suga bagaimanapun terus melangkah dengan tiga pendekatan iaitu pelonggaran dasar monetari, rangsangan fiskal dan strategi pertumbuhan.

Dengan itu, Jepun telah meningkatkan pekerjaan kira-kira empat juta orang, industri pelancongan dan eksport pertanian berkembang dengan ketara malah tahun lalu, nilai pasaran tanah di kawasan tempatan juga meningkat untuk pertama kali sepanjang 27 tahun.

Katanya, mempromosikan transformasi digital, menghapuskan birokrasi, keterlibatan dalam sesuatu hal terutama kewangan merupakan keutamaan pasca Covid-19 selain membina masyarakat hijau untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca menjadi sifar bersih menjelang 2050.

“Kami akan menggunakan inovasi revolusi dan penambahbaikan terhadap ketahanan tenaga untuk mewujudkan kitaran ekonomi dan persekitaran yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×