JOHOR BAHRU : Johor tetap meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan agama walaupun ditutup bermula esok sehingga 17 Disember dan kali ini dilakukan menerusi kaedah home-based learning.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, sebanyak 969 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan tutup dan langkah diambil bagi memutuskan rantai penularan jangkitan wabak Covid-19.
Katanya, penutupan ini melibatkan Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Tadika Agama Johor, Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, Sekolah Menengah Agama Negeri Johor, Maahad Tahfiz Negeri Johor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan menengah dan rendah.
Tambahnya, turut terlibat sama sekolah dan madrasah serta pondok swasta dan madrasah Malabar Johor.
“Bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, segala perubahan dan perkembangan berkaitan peperiksaan akan dimaklum Kementerian Pendidikan.
“Peperiksaan dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ seperti Peperiksaan Ujian Kelayakkan Darjah Khas (UKDK), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tosrin memberitahu, sepanjang tempoh penutupan tersebut, guru hendaklah kekal berada di tempat bertugas masing-masing serta sentiasa mematuhi arahan-arahan semasa Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya, takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan bagi tahun depan akan diselaraskan semula oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
“Bagi murid yang tinggal di asrama, ibu bapa dan penjaga mempunyai masa hingga Selasa ini (10 November) untuk mengambil mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Sepanjang tempoh itu, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama manakala keperluan makan dan minum murid akan disediakan pihak sekolah sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE