KUALA LUMPUR: Akibat sekatan pergerakan, pelbagai kaedah sanggup dilakukan oleh sindiket dadah untuk mengaut keuntungan bagi memenuhi permintaan pengguna dadah.
Ini termasuklah menggunakan aplikasi e-hailing dan penghantaran makanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mereka.
Bagaimanapun, kelicikan mereka ‘dihidu’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus menyukarkan operasi sindiket berkenaan.
Ini terbukti apabila sebanyak 21 tangkapan berjaya dibuat di empat negeri sejak 18 Mac lalu sehingga 25 Jun hasil sekatan jalan raya yang dilakukan PDRM.
Empat negeri itu ialah Kuala Lumpur sebanyak 12 tangkapan, diikuti Selangor (7) manakala Kedah dan Johor masing-masing satu tangkapan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain memberitahu, sebanyak 18 kes – Kuala Lumpur (10), Selangor (6), Kedah (1) dan Johor (1) berjaya dibongkarkan JSJN dalam tempoh sama.
Kata Razarudin, hasil tangkapan menemukan pelbagai jenis dadah berjumlah 152.72 gram.
“Dalam tempoh sama juga, pihaknya juga berjaya merampas 12.70 liter air ketum yang dihantar sindiket dadah menggunakan aplikasi e-hailing dan penghantaran makanan berkenaan.
“Modus operandi ini dikesan digunakan sindiket dadah sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dikuat kuasakan pada Mac lalu yang mana sindiket ini mengambil kesempatan menggunakan khidmat penghantar makanan, barangan dan e-hailing untuk menghantar dadah yang dipesan pelanggan.
“Penghantar dadah ini akan kenakan bayaran yang lebih tetapi ada juga dalam kes tertentu, mereka (penghantar) tidak mengetahui bungkusan yang mereka hantar mengandungi dadah,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali ketika dihubungi berkata, tindakan tegas seperti digantung lesen perlu dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang didapati terlibat dengan kes jenayah termasuk pengedaran dadah.
Ujarnya, pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa mengambil tindakan sewajarnya kerana perbuatan jenayah dilakukan memberikan implikasi buruk terhadap perkhidmatan e-hailing.
Kata Arif Asyraf, permintaan tinggi daripada penagih serta pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa ketika PKP sehingga menyebabkan pemandu serta penungang e-hailing disalahgunakan oleh pengedar bagi menjalankan kegiatan mereka.
“Ini juga bagi mengaburi mata pihak berkuasa melalui perkhidmatan yang disediakan oleh pihak e-hailing.
“Kami memandang serius terhadap isu kerana tanpa disedari dijadikan sasaran atau kambing hitam aktiviti haram tersebut sehingga menggugat punca pendapatan kami,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Arif Asyraf, pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing ini turut memberi implikasi kepada imej Grab selaku salah satu platform yang menawarkan servis penghantaran di negara ini.
Jelasnya, pihak beliau sentiasa memastikan setiap pemandu dan penunggang perkhidmatan e-hailing mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan Grab.










