Faktor ancaman kesihatan awam, PRK Batu Sapi batal - Utusan Malaysia

Faktor ancaman kesihatan awam, PRK Batu Sapi batal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setelah mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan pilihan raya negeri (PRN) Sabah, September lalu, Kabinet berpandangan lebih elok sekiranya pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dapat dielakkan atas beberapa faktor.

Menurut Perdana Menteri, pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam dengan pengalaman PRN Sabah menunjukkan pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti.

Menurutnya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak itu sukar dibendung.

Kedua katanya, pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan ketika bertugas.

“​Ketiga, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan ke daerah-daerah lain di Sabah. Keempat ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi.

“​Kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan,” katanya dalam perutusan khas di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu Covid-19 di Batu Sapi khususnya dan di Sabah amnya sekiranya pandemik itu menular selepas PRK Batu Sapi diadakan.

“​Berdasarkan faktor-faktor ini, Kabinet berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir,” katanya.

Katanya, beliau sendiri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyembah maklum nasihat Kabinet supaya Seri Paduka mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

“​Bertindak atas nasihat Kabinet, Seri Paduka telah berkenan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Batu Sapi dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 yang membolehkan PRK Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember ini dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya