E-Anfun kesan pencemaran bau - Utusan Malaysia

E-Anfun kesan pencemaran bau

MUHAMMAD Sharfi Najib (tengah) bersama penyelidik UMP menggunakan E-Anfun dalam kajian pengesanan bau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peranti elektronik, E-Anfun adalah alat yang ber­upaya mengesan pencemaran bau termasuk air sungai.

Penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib berkata, peranti itu berupaya mengecam berdasarkan profil bau yang hampir dengan kompaun standard walaupun tidak mencapai 100 peratus.

Jelasnya, E-Anfun bergantung kepada berapa banyak profil sampel bau yang dilatih dan disimpan dalam ‘mikrocontroller’ menggunakan teknik teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI).

Katanya, antara kelebihan E-Anfun adalah membantu pengecaman bau yang unik untuk melakukan pengesanan awal bagi membuat pemetaan bau terutama di lokasi-lokasi yang berbau.

E-ANFUN

“Beberapa projek yang boleh diketengahkan secara praktikal sedang dilaksanakan UMP de­ngan pihak industri dan institusi adalah projek mengesan bau di industri yang berdekatan komuniti.

“Industri yang dekat dengan komuniti perumahan ini kadang ­kala mene­rima aduan da­ripada masyarakat tentang bau yang tidak menye­nangkan apabila kilangnya mu­la beroperasi.

“Antara industri mengelu­ar­kan bau ialah minyak dan gas, kimia, ternakan, kelapa sawit dan getah dan ia boleh menjejaskan ketenteraman komu­niti berdekatan boleh ter­gang­gu kehidupan seharian,” ka­ta­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Mingguan Malaysia bahawa ketiadaan teknologi mengesan pencemaran bau terhadap air sungai menyukarkan pihak bertanggungjawab untuk memberi amaran awal gangguan bekalan kepada pengguna di Lembah Klang dan Selangor.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Sharfi berkata, E-Anfun direka bentuk untuk tujuan ‘mobile’ adalah peranti yang boleh mengesan kemeruapan bau tersebar hasil operasi industri yang menghasilkan bau melalui kaedah pemetaan bau.

Jelasnya, beberapa lokasi yang disyaki meruap dengan bau perlu ditanda dan data pada beberapa keadaan perlu diambil secara berkala untuk menjustifikasi tahap bau berdasarkan dua kaedah.

“Kaedah pertama adalah me­ngambil sampel dari cecair dan pepejal yang berpotensi dan dianalisis menggunakan mesin gas kromatografi-spektrometer jisim (GCMS) dan ke­dua adalah berdasarkan pakar bau terlatih.

“Dua kaedah tersebut iaitu mengenal pasti kompaun organik meruap menggunakan GCMS dan memanfaatkan kepakaran yang terlatih dalam pengecaman bau adalah sangat baik digabungkan dengan E-Anfun sebagai peranti komplimentari.

“Dengan menggunakan E-Anfun, beberapa punca bau yang signifikan dapat dipastikan dengan menukarkan profil bau dalam bentuk intensiti bau. Inovasi ini membantu pihak industri atau pihak yang memerlukan khidmat ini merancang pelan tindakan hasil daripada data profil bau E-Anfun,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, kadang-kadang pihak industri tidak dapat mengesahkan punca bau sebenar secara tepat kerana limitasi penggunaan teknik anggaran dengan melatih pekerja sedia ada untuk membuat pengecaman.

“Kaedah manual menggunakan kepakaran manusia tidak dapat banyak membantu kerana manusia mempunyai sensitiviti hidung yang berbeza dan tidak ada piawaian standard.

“E-Anfun menggunakan kaedah saintifik berdasarkan data konsisten dan tidak bias yang mana kaedah mengecam menggunakan E-Anfun sangat efektif dan dapat mengurangkan kos operasi mengatasi masalah bau yang meruap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.