Dadah: Polis berkas 21 individu termasuk tujuh wanita - Utusan Malaysia

Dadah: Polis berkas 21 individu termasuk tujuh wanita

ANTARA dadah yang dirampas dalam satu operasi khas yang dijalankan pihak JSJN IPK Negeri Sembilan di beberapa buah lokasi di Port Dickson pada 23 November lalu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 21 individu termasuk tujuh wanita diberkas dalam serbuan dan operasi khas yang dijalankan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di beberapa buah lokasi di daerah ini pada 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, turut dirampas dalam operasi yang bermula pada pukul 7 pagi hingga 10 malam itu adalah dadah seberat 201.6 gram yang bernilai sebanyak RM18,750.

AIDI SHAM MOHAMED

“Bertindak atas maklumat aktiviti pengedaran dadah, pihak JSJN IPK Negeri sembilan telah menjalankan serbuan dan operasi khas serta berjaya menahan 11 lelaki Melayu, tiga lelaki India dan tujuh perempuan Melayu di beberapa buah lokasi.

“Lokasi iaitu bertempat di sebuah buah hotel di Jalan Pantai, Teluk Kemang iaitu di kawasan Marina Terrace, Jalan Pantai, Batu 7, sebuah pangsapuri di kawasan Teluk Kemang dan di sebuah rumah di Jalan Pantai, Batu 8, Teluk Kemang dekat sini. Mereka disyaki terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Aidi Sham, dadah yang dirampas adalah jenis syabu seberat 180.2 gram dengan anggaran nilai RM18,000, heroin sebanyak 20 gram bernilai RM700 dan ganja sebanyak 1.4 gram dengan anggaran nilai RM50.

“Pemeriksaan air kencing terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 38 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Semakan rekod terhadap kesemua suspek didapati 17 daripadanya mempunyai beberapa rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan sebaliknya empat suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen dibawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2), Seksyen 6 dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek telah direman di antara empat hingga tujuh hari dan kini berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.