Maqis gagalkan cubaan seludup ikan kerapu ke Singapura - Utusan Malaysia

Maqis gagalkan cubaan seludup ikan kerapu ke Singapura

IKAN Kerabu yang cuba diseludup masuk ke Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyembunyikan pelbagai produk pertanian seberat 250 kilogram (kg) termasuk ikan kerapu dalam sebuah lori barangan untuk diseludup ke Singapura.

Namun tindakan itu berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, cubaan itu berjaya digagalkan pihaknya setelah pemeriksaan dilakukan di laluan lori Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini Khamis lalu.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati barangan berkenaan diletakkan bersama hasil dagangan lain yang mempunyai permit yang sah.

“Semasa pemeriksaan dibuat, pegawai Maqis Johor mendapati keluaran pertanian seperti ikan kerapu, ikan siakap, katak sejuk beku, buah durian belanda dan pelbagai keluaran pertanian lain cuba dibawa keluar tanpa permit eksport.

“Barangan dagangan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2,500 itu kemudiannya dirampas. Sementara itu, pemandu lori berkenaan dilepaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nur Afifah, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis Johor komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan terhadap penyakit ikan, haiwan dan tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.