Cuaca tidak menentu punca siput terdampar di Pantai Rusila - Utusan Malaysia

Cuaca tidak menentu punca siput terdampar di Pantai Rusila

Dr. NURSALWA BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keadaan cuaca yang tidak menentu di samping ombak kuat akibat musim tengkujuh dipercayai menjadi punca ribuan siput daripada spesis Margistromus marginatus terdampar di  Pantai Rusila berdekatan Kampung Rhu Dua di Marang.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Nursalwa Baharuddin, fenomena itu membolehkan siput-siput dewasa berkumpul untuk membiak dan meningkatkan populasi di samping dapat menjelajah kawasan baharu bagi mencari sumber makanan.

Nursalwa yang juga ahli Malakologi berkata, hidupan marin bersaiz empat hingga lapan sentimeter yang banyak terdapat di Laut Andaman, perairan selatan India, Selat Melaka dan Laut China Selatan itu pernah direkodkan kumpulan penyelidikannya di perairan Pulau Bidong pada 2018. 

“Spesis ini lazim dijumpai di rumput laut dan kawasan bentik iaitu permukaan bawah laut yang berpasir dan berkelodak. 

“Walau bagaimanapun, saya menasihati orang ramai agar dapat melepaskan siput-siput bersaiz kecil atau kurang dari empat sentimeter di samping mengehadkan pengambilannya bagi memberi peluang haiwan itu hidup sebagai jaminan rantaian makanan ke arah kelestarian ekosistem marin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemunculan siput dengan cangkerang bercorak warna coklat itu menarik perhatian penduduk kerana didakwa tidak dijumpai di Pantai Rusila sejak lebih 50 tahun lalu.

Nursalwa berkata, siput daripada keluarga Strombidae yang berprotein tinggi itu turut memiliki kandungan kolestrol tinggi sebagaimana makanan laut lain jika dimakan dalam jumlah yang banyak. 

Katanya, berdasarkan kajian di Indonesia, pakar nutrisinya menasihatkai masyarakat di Kepulauan Riau dan Batam untuk mengehadkan pengambilan siput itu kepada satu hingga dua kali seminggu dalam kuantiti yang sedikit walaupun spesis tersebut banyak terdapat di perairan berkenaan. 

“Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar merendamkannya dalam air masin semalaman sebelum direbus dan dimasak bagi memastikan segala lendir, kekotoran, pasir dan sebagainya dapat diasingkan memandangkan habitat siput di kawasan berpasir serta berkelodak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya