Bomoh dituduh salah guna barang kemas dua wanita - Utusan Malaysia

Bomoh dituduh salah guna barang kemas dua wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bomoh lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan sejumlah barang kemas bernilai RM5,144 milik dua wanita untuk kegunaan peribadi sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Zahri Ahamad, 50, yang merupakan pesara kerajaan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan seutas rantai leher emas bernilai RM1,394 milik Norisah Amin, 52, di sebuah kedai pajak gadai di Pekan Lama di sini kira-kira pukul 11.38 pagi, 29 November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan tiga bentuk cincin emas bengkok bernilai RM1,600 milik individu sama di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Kampung Baru di sini kira-kira pukul 3.19 petang, 23 Jun lalu.

Sementara pertuduhan ketiga, bapa kepada dua orang anak itu didakwa menyalahgunakan seutas rantai tangan emas bernilai RM1,900 milik individu sama di sebuah kedai pajak gadai di Taman Ria di sini kira-kira pukul 1.55 petang, 23 Oktober lalu.

Tertuduh juga berdepan dengan pertuduhan sama membabitkan satu loket emas bernilai RM250 milik Roshaizatul Akma Ali, 29, di sebuah kedai pajak gadai di Bedong di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 15 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh tidak membayar jaminan dikenakan.

Kes akan disebut semula pada 5 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya, Nurul Husnah Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong.

Utusan Malaysia 31 Oktober lalu melaporkan seorang kerani yang percaya bumbung rumahnya ditimpa makhluk halus terpaksa berputih mata apabila barang kemas bernilai RM45,000 licin dikebas bomoh.

Kejadian itu berlaku di Padang Sanai, Padang Terap dan mangsa menyedari ditipu pada 8 September lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya