fbpx

4 Disember 2020, 4:01 am

  TERKINI

75 pemandu teksi Shah Alam terima bantuan

SUKARELAWAN Al-I'tisam (tengah, berbaju ungu) memasukkan barang bantuan ke dalam sebuah teksi di hentian teksi Seksyen 13, Shah Alam hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Prihatin dengan nasib pemandu teksi yang terkesan dengan pandemik Covid-19,  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) hari ini membantu seramai 75 pemandu daripada Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-I’tisam, Mohd. Shah Sapie berkata, pihaknya terpanggil membantu golongan tersebut setelah mengetahui kesusahan yang dialami mereka melalui media tempatan.

“Sejak menganjurkan program bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini kali pertama Al-I’tisam memberikan sumbangan kepada pemandu teksi.

“Kita merancang untuk memberikan sumbangan kepada pemandu teksi di tempat lain. Dalam masa sama, kita berharap orang awam dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada Al-I’tisam supaya pertubuhan dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada golongan yang terjejas.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Sumbangan Pek Makanan Kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam di hentian teksi Seksyen 13, di sini hari ini yang turut dihadiri pelawak tanah air, Azlee Senario.

Terdahulu, kesemua pemandu teksi menerima bantuan keperluan harian seperti beras, telur, minyak masak dan makanan asas lain bernilai RM80.

Sementara itu, pemandu teksi, Razlan Shukor, 56, berkata, situasi pada ketika ini amat menyukarkannya untuk mendapat penumpang, malah ada hari tiada penumpang yang menaiki teksinya.

“Secara purata, saya hanya mendapat seorang sahaja penumpang setiap hari pada minggu ini dan hanya dapat RM10 sahaja dalam tempoh sama.

“Dengan pendapatan yang amat sedikit, hendak beli beras agak sukar, namun dengan adanya bantuan ini saya bersyukur dan amat membantu,” ujarnya. – UTUSAN