PUTRAJAYA: Hampir 64,000 orang mendapatkan perkhidmatan psikologi sepanjang tempoh bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Selain itu, lebih 15,000 penjawat awam turut mendapat perkhidmatan kaunseling terbabit.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, daripada jumlah hampir 64,000 orang, sebanyak 55 peratus mendapatkan perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) manakala 22.5 peratus melibatkan isu kesihatan mental.
Beliau berkata, ia berdasarkan statistik Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membabitkan sepanjang tempoh PKP hingga PKP Pemulihan (PKPP).
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, permintaan terhadap perkhidmatan psikologi tidak lagi terhad kepada penyampaian perkhidmatan secara konvensional.
“Terdapat individu yang berasa terganggu atau terkesan apabila berhadapan dengan pelaksanaan PKP sehingga PKPP dalam kehidupan sehingga menjejaskan kesejahteraan psikologi diri.
“Sebagai contoh, terdapat individu yang mengalami kegelisahan, ketakutan, terasing apabila mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke 24 Jabatan Perkhidmatan Awam FB LIVE Tahun 2020, hari ini.
Penganjuran persidangan kali ini, menggunakan tema yang seiring dengan cabaran dunia masa kini iaitu Norma Baharu Perkhidmatan Psikologi: Intervensi Digital.
Mohd. Khairul Adib berkata, penyampaian perkhidmatan psikologi melalui intervensi digital seperti bimbingan, kaunseling, psikoterapi dan penilaian psikologi disediakan, bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan dengan segera terutama dalam kes kecemasan
“Penyampaian perkhidmatan secara digital juga membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat, sokongan atau intervensi, tanpa dibatasi oleh faktor geografi, masa, kos atau fizikal.
“Usaha ini juga mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjawat awam dalam menangani pegawai dan kakitangan yang berprestasi rendah,” katanya.- UTUSAN ONLINE