4 pantai di Kelantan, Terengganu perintis PBB SWART - Utusan Malaysia

4 pantai di Kelantan, Terengganu perintis PBB SWART

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti empat pantai, masing-masing dua di Kelantan dan Terengganu, berisiko berlaku kemalangan air.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, lokasi terbabit, Pantai Irama, Bachok dan Semerak, Tok Bali di Kelantan serta Dungun dan Kuala Nerus, Terengganu.

“Untuk itu buat permulaan pasukan perintis Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART) diwujudkan di empat kawasan pantai ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran PBB SWART dan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut secara maya dari ibu pejabat JBPM di sini semalam.

Program dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin melalui video lintas langsung dari Pantai Irama yang dihadiri wakil Kerajaan Negeri Kelantan.

Mohamad Hamdan berkata, kumpulan pertama 23 anggota itu menjalani latihan intensif di Akademi Bomba Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu baru-baru ini.

“Mereka dipilih dalam kalangan komuniti di kawasan pantai terbabit dan berlatih sebelum diberi tauliah kelayakan sebagai PBB SWART,” katanya.

Katanya, penubuhan pasukan itu sendiri hasil idea Zuraida susulan analisis JPBM mengenai insiden mati lemas di seluruh negara dari 2016 hingga tahun lalu yang mencatatkan 1,128 kes.

Tambahnya, ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Keselamatan Aktiviti Air, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ditubuhkan khas hasil keputusan Kabinet pada 2016 bagi menangani kemalangan air.

“Anggota PBB SWART dilatih untuk mampu memadam kebakaran dan aktiviti menyelamat bencana yang lain sebelum kedatangan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berharap penubuhan pasukan khas itu sebagai barisan hadapan dapat mengurangkan kes mangsa lemas yang boleh berlaku pada bila-bila masa di kawasan berisiko. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN