15,000 anggota bomba siap sedia hadapi banjir - Utusan Malaysia

15,000 anggota bomba siap sedia hadapi banjir

G. Pongavanam (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ismail Abd. Muttalib pada sambutan Hari Deepavali Peringkat Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kekuatan 15,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia dikerah sebagai petugas barisan hadapan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail  Abd. Muttalib berkata, untuk itu, sebahagian besar cuti anggota JBPM dibekukan demi menjamin kecekapan bantuan kepada mangsa terjejas banjir.

Bagaimanapun tegasnya, anggota JBPM berhak mengambil cuti tahunan mereka berdasarkan keperluan mendesak seperti urusan keluarga.

“Tenaga dan kepakaran anggota JBPM diperlukan pada musim tengkujuh kerana fenomena banjir tidak lagi tertumpu di Pantai Timur kerana terbukti kini banjir berlaku di negeri Pantai Barat.

“Perkhidmatan  dan kepakaran mereka diperlukan di barisan hadapan dalam membantu mangsa banjir kerana mereka terlatih menyelamat di darat dan di air,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Deepavali Peringkat Parlimen Maran 2020 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kepakaran dan khidmat anggota JBPM bukan sahaja menghadapi banjir tetapi juga tenaga penting melakukan sanitasi awam di bangunan di seluruh negara.

Beliau berkata, selain persiapan fizikal, setiap balai bomba telah menjalani latihan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Begitu juga persediaan dari segi peralatan di mana seluruh balai bomba negeri telah membuat semakan dan ujian terhadap semua peralatan serta logistik bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Anggota bomba dan penyelamat akan berganding bahu dengan pasukan barisan hadapan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), polis, tentera, dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kegagalan meluluskan Belanjawan 2021 hanya akan menimbulkan keresahan rakyat yang ketika ini cukup terkesan ekoran wabak Covid-19.

Beliau menambah, jika tidak diluluskan, tidak mustahil pandemik itu makin parah kerana kerajaan tiada kuasa mengeluarkan peruntukan membeli peralatan pencegahan dan vaksin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya