Warga emas dikhuatiri lemas - Utusan Malaysia

Warga emas dikhuatiri lemas

ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas yang dipercayai lemas di sungai berhampiran Tokong Cina di Kaki Bukit, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berhampiran tokong Cina di Kaki Bukit di sini.

Warga emas berusia 71 tahun itu dipercayai mandi di sungai tersebut selepas motosikal dan pakaian miliknya ditemukan di kawasan tebing sungai.

Anak perempuan mangsa, Lee Ming Hooi, 48, berkata, dia dimaklumkan oleh ibu yang bapanya, Lee Ah Kau tidak ada di rumah sejak pukul 7 pagi.

Setelah menghantar anak ke sekolah, dia kemudian bergegas keluar mencari bapanya di sekitar pekan Kaki Bukit sehingga ke sungai tersebut.

“Saya datang ke sini (sungai) kerana sebelum ini ayah pernah datang mandi di sungai apabila air tidak ada di rumah. Bila sampai saya tengok ada motosikal dan pakaiannya tapi dia tak ada. Saya kemudian membuat laporan kerana risau keselamatan ayah yang turut mempunyai masalah jantung.

“Biasanya ayah akan hantar anak saya ke sekolah pada waktu pagi namun hari ini tidak berbuat demikian,” ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Firdaus Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar dibantu anggota dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kangar terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Kerja mencari itu dilakukan menggunakan teknik menyelamat di permukaan air dan kita turut menurunkan dua penyelam.

“Cabaran yang kami hadapi adalah paras air yang tinggi dan deras. Ada dua bahagian pencarian iaitu di hadapan dan di dalam gua,” katanya.

Sehingga 4.53 petang ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN