ARAU: Pembelajaran penuntut jurusan kejuruteraan dan teknikal membabitkan kerja-kerja praktikal di makmal telah ditangguhkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 manakala penilaian bukan lagi berbentuk peperiksaan semata-mata.
Itu penegasan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad yang tidak bersetuju pengajian secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19 boleh menyebabkan kualiti mahasiswa jurusan teknikal dan kejuruteraan merosot 50 peratus.
Katanya, masalah itu mungkin ada namun tidak begitu ketara sehingga boleh menjejaskan kualiti mahasiswa.
“Pendekatan yang dilaksanakan membabitkan pembelajaran yang memerlukan peralatan dan sebagainya di makmal-makmal telah ditangguhkan. Malah kaedah penilaian juga dilakukan melalui tugasan bukan lagi peperiksaan.
“Malah penuntut yang berdepan masalah mengikuti pembelajaran secara dalam talian kita beri peluang mereka terutama dari kawasan zon hijau kembali ke kampus tetapi diwajibkan mengisi dan menghantar borang kesihatan Covid-19 terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pengajian secara dalam talian ekoran Covid-19 boleh menyebabkan kualiti mahasiswa jurusan teknikal dan kejuruteraan merosot sehingga 50 peratus berbanding pembelajaran bersemuka di bengkel dan dewan kuliah.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dilaporkan berkata, jurusan itu memerlukan penuntut terlibat dalam kerja praktikal dan menggunakan peralatan bersesuaian.
Dianggarkan 400,000 penuntut kejuruteraan dan teknikal mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi awam di negara ini.
R. Badlishah memberitahu, prestasi penuntut Unimap secara keseluruhannya baik dan tidak terjejas.
“Ini kerana Unimap membuat persediaan dan mod pengajian dalam bentuk synchronous (segerak/live) dan asynchronous (tidak segerak/rakaman).
“Melalui mod tidak segerak penuntut boleh membuat capaian rakaman dan mengulang kaji pelajaran dengan baik. Unimap juga memastikan khidmat nasihat tentang isu-isu pembelajaran diberikan kepada kakitangan dan penuntut,” katanya. – UTUSAN










