Temco Bandar Sungai Emas: 35 penduduk sahaja berjaya dikesan - Utusan Malaysia

Temco Bandar Sungai Emas: 35 penduduk sahaja berjaya dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Hanya 35 individu sahaja yang berjaya dikesan dan melakukan ujian saringan Covid-19 menerusi pemeriksaan pintu ke pintu di kawasan Flat Sungai Emas dan perumahan teres Taman Sungai Emas di sini yang kini terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco).

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan pintu ke pintu semalam untuk mengesan penduduk di kawasan tersebut yang masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

“Bagaimanapun, daripada 200 individu yang disasarkan belum membuat ujian saringan, kita hanya berjaya mengesan 35 individu sahaja.

“Malah, pemeriksaan pintu ke pintu yang dijalankan semalam mendapati sebanyak 67 rumah kosong. Kita tidak tahu sama ada rumah ini sedia kosong atau penghuninya keluar sejurus arahan Temco dikeluarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Temco di Flat Sungai Emas dan Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas di sini dengan keluasan 5.9 hektar telah dilaksanakan Temco sehingga 10 November hadapan.

Pelaksanaan Temco berikutan Kluster Bah Manggis yang dikesan pada 5 Oktober lalu telah menyumbang kepada 65 kes positif iaitu 63 daripadanya di kesan di Kuala Langat yang mana 42 dikesan di kawasan flat tersebut.

Walau bagaimana pun, siasatan mendapati terdapat kira-kira 200 individu masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd. Jusni yang juga merupakan Pegawai Daerah Kuala Langat berkata, setakat ini, 1,016 daripada 1,300 penduduk di kawasan tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Setakat ini, keputusan yang belum diterima hanya 54 individu sahaja termasuk yang melakukan ujian semalam. Malah, hari ini juga, kita telah menyerahkan Borang Annex 17 kepada penduduk yang layak menerimanya.

“Bagaimanapun, pemantauan di setiap kediaman yang didapati kosong akan diteruskan dan sekiranya penghuninya pulang kita akan mengarahkan mereka menjalani ujian saringan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya