Tanaman ketum untuk perubatan wajar dikomersialkan - Utusan Malaysia

Tanaman ketum untuk perubatan wajar dikomersialkan

LADANG ketum di sebuah kampung di Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pengusaha ketum daerah ini bersetuju sekiranya tanaman tersebut dikomersialkan ekoran permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.

Mereka percaya pengusaha ketum sedia mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk jika diperketatkan kawalan oleh pihak berkuasa.

Terdapat kira-kira 500 pengusaha tanaman itu di daerah tersebut melibatkan kawasan seluas 100 hektar dengan setiap pengusaha terbabit menanam antara 0.28 hektar hingga 30 hektar.

Seorang penanam ketum yang mahu dikenali Rasidi, 42, berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangan cadangan supaya tanaman ketum boleh dikomersial berikutan permintaan daun tersebut tinggi di pasaran.

“Harga daun ketum lebih tinggi berbanding harga getah yang rendah di pasaran dan tanaman itu tidak memerlukan penjagaan serta modal yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 26 Oktober melaporkan tanaman ketum boleh dikomersialkan dengan syarat terdapat peruntukan undang-undang membenarkan penanaman secara terkawal oleh kerajaan bagi tujuan tertentu seperti penyelidikan dan perubatan.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Penguatkuasaan Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin Julai lalu, kerajaan membentuk dua jawatankuasa mengkaji kaedah memperkukuhkan undang-undang dan penguatkuasaan sedia ada.

Difahamkan selain Padang Terap, daerah lain yang terdapat penanaman ketum ialah Kubang Pasu, Yan dan Sik.

Kedah dianggarkan mampu mengeluarkan sehingga 180 tan daun ketum dengan nilai pasaran mencecah RM3 juta bagi setiap kali tuaian.

Seorang lagi penanam ketum, Rahman, 37, pula berkata, tanah di daerah ini sesuai dengan tanaman ketum dan daunnya juga lebih berkualiti.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan boleh menjalankan kajian terhadap kesesuaian tanah di daerah ini bagi memastikan pengeluarannya tinggi pada setiap musim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×