Rugi RM2 juta Taman Negara diarah tutup - Utusan Malaysia

Rugi RM2 juta Taman Negara diarah tutup

BOT-bot membawa pelancong di Sungai Tahan, tersadai akibat ketiadaan kunjungan pelancong di Taman Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Arahan penutupan Taman Negara di sini  bermula 6 Oktober lalu yang dianggap dibuat secara drastik oleh kerajaan mendapat bantahan pengusaha pelancongan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, arahan penutupan itu menyebabkan pengusaha pelancongan di kawasan berkenaan kehilangan mata pencarian dan menjejaskan pendapatan kerajaan serta penduduk dalam industri eko pelancongan.

Beliau yang mewakili Persatuan Pengusaha Pelancongan Kuala Tahan berkata, terdapat kira-kira 333 pemain utama industri pelancongan di Taman Negara yang terdiri dari 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan.

Jumlah itu katanya, tidak termasuk pengusaha sokongan lain seperti pengusaha penyajian makanan, pembekal, peruncit dan lain-lain sektor yang bergantung harap kepada bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Sepanjang tempoh penutupan yang bermula 6 Oktober itu, mereka mengalami kerugian dianggarkan hampir RM2 juta bulan ini. 

“Bayangkan, mereka terpaksa membatalkan tempahan untuk bekalan yang berkaitan, akur dengan kehendak pelanggan yang membatalkan tempahan bilik penginapan dan tempahan bot. 

“Dalam masa yang sama mereka masih terikat dengan bayaran hutang dan pinjaman dengan pihak bank, Tekun Nasional (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) sedangkan tempoh moratorium sudah berakhir bulan lalu lalu,” katanya di sini semalam.

Abdul Jalil berkata, satu memorandum berupa keluhan dan bantahan terhadap arahan penutupan Taman Negara itu telah dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh. 

Menurutnya, sebelum ini mereka telah kehilangan punca pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang bermula 18 Mac lalu.  

“Setelah tamat PKP, mereka telah melakukan promosi agar Taman Negara terus dikunjungi dan kesannya ramai pelancong datang ke sini, berbelanja, menikmati kehijauan alam semula jadi di sini di hutan hujan tropika tertua di negara ini, dengan alam flora dan faunanya.

“Tiba tiba mereka dikejutkan dengan arahan drastik supaya Taman Negara ini ditutup untuk sebarang aktiviti pelancongan. Memang terjejas teruk dan mereka juga kehilangan pendapatan yang dikhaskan untuk menghadapi musim tengkujuh yang mana pada bulan Disember dan Januari setiap tahun tempat ini akan ditutup untuk persiapan musim banjir atau musim hujan,” katanya. 

Beliau menggesa Taman Negara dibuka semula sebelum bulan Disember hingga Januari untuk sekurang-kurangnya mereka boleh bernafas seketika sebelum musim tengkujuh bermula. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.