GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bukit Bendera dijangka membuka permohonan cadangan projek (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera kepada pihak swasta bulan depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu akan diteruskan dengan kerjasama pihak swasta selepas kerajaan Pusat pada April lalu memaklumkan peruntukan bagi projek tersebut tidak dapat diteruskan.
Malah, tambah beliau, rayuan kerajaan negeri supaya Kementerian Kewangan meneliti dan mempertimbangkan semula permohonan peruntukan itu pada 10 Jun lalu juga tidak mendapat maklum balas sehingga kini.
“Projek ini dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berhubung status projek-projek Kerajaan Pusat yang diluluskan untuk Pulau Pinang dalam Bajet 2020 lalu khususnya projek kereta kabel Bukit Bendera.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Bajet 2020 yang dibentangkan Guan Eng selaku Menteri Kewangan ketika itu meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi projek kereta kabel Bukit Bendera dengan baki kos ditanggung kerajaan negeri.
Bagaimanapun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 April lalu memaklumkan peruntukan itu tidak mendapat pertimbangan dan tidak dapat diteruskan.
Kepada soalan berkenaan status projek Persekutuan, Kon Yeow berkata, terdapat sebanyak 167 projek telah diluluskan untuk negeri ini dalam Bajet 2020 sehingga 2 Ogos lalu dengan kos keseluruhan RM14.9 bilion.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 126 adalah projek baharu dengan kos RM10.52 bilion manakala 41 adalah projek sambungan (RM4.38 bilion) iaitu masing-masing 148 projek fizikal dan 19 projek bukan fizikal.
Jelas beliau, bagi projek-projek yang diluluskan itu, sebanyak 25 sudah berjaya disiapkan; mengikut jadual (122); dalam perancangan (13); lewat jadual (6) dan sakit (1). – UTUSAN