KUALA LUMPUR Hampir 15 tahun mencari peluang dalam bidang nyanyian. Penyanyi Ratu Balqis kini muncul dengan single pertamanya berjudul Buaya.
Turut bergandingan dengan penyanyi rap wanita, Mimifly, Balqis atau nama sebenarnya Nor Balqis Binti Ahmad Tajudin memberitahu kerjasama ini juga sebagai tanda terima kasihnya kepada Mimi.
“Saya memilih untuk berkolaborasi dengan Mimifly dalam lagu Buaya ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada Mimi yang bukan sahaja merupakan idola saya tetapi Mimi juga adalah guru saya selain Hazama, Genervie Kam dan Afif Tirmizie.
Sebelum ini saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Mimi Ketika program Mentor Milenia 2017 berlangsung. Sebagai guru aksi panggung, Mimi banyak mengajar saya tentang ‘stage present’ dan cara untuk memberikan persembahan lebih efektif di pentas.” Katanya.
Sementara itu bercakap mengenai single ini, Balqis memberitahu Buaya merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya
“Umum mengetahui bahawa gelaran lelaki kasanova berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama Casanova yang suka memikat perempuan dan mempunyai banyak kekasih manakala gelaran lelaki buaya pula berasal daripada peribahasa Melayu iaitu buaya darat yang merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan.
Namun ramai yang keliru dan merasakan lelaki kasanova dan lelaki buaya adalah karakter yang berbeza. Menerusi lagu Buaya, kami cuba membuktikan bahawa yang kasanova dan yang buaya itu adalah lelaki yang sama.
“Saya ingin hadiahkan single pertama ini untuk semua terutama keluarga, rakan-rakan dan peminat saya yang tidak putus-putus memberikan semangat untuk saya bangkit dan terus berjuang dalam industri muzik Malaysia.
Saya mengharapkan yang single Buaya ini mendapat sambutan dan dapat diterima ramai,” jelas Balqis lagi dalam menyatakan kesyukuran dan harapannya terhadap karya sulungnya ini.
Buaya merupakan ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal manakala lirik merupakan hasil nukilan bersama Iqie Hugh, Shaqiel Naufal, Ratu Balqis dan Mimifly.
Lagu terbitan Adopt Entertainment dan edaran Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 9 Oktober lalu lalu.