Penuntut kolej maut, rakan cedera - Utusan Malaysia

Penuntut kolej maut, rakan cedera

MUHAMMAD Khairul Firdaus Rosli yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Salor, Kota Bharu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penuntut Kolej Vokasional Kuala Krai maut apabila motosikal ditunggang bersama rakannya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Salor, di sini petang semalam.

Mangsa, Muhammad Khairul Firdaus Rosli,18, cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian pukul 6.20 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pembonceng motosikal yang juga rakan mangsa Muhammad Faisal Ashman Amran,17, masih bersekolah hanya luka di tangan dan kaki kiri.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika penuntut itu bersama rakannya menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.

“Apabila sampai di lokasi kereta Perodua Kancil yang dipandu wanita berusia 66 tahun dari Parit Cina menyeberang ke Kampung Surau Salor secara mengejut.

“Akibat jarak yang dekat mangsa yang menunggang motosikal gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta tersebut.

“Mangsa dan rakannya terjatuh serta menyebabkan Muhammad Khairul Firdaus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai cedera parah dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN