Pencemaran: Lapan individu termasuk dua beranak direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Pencemaran: Lapan individu termasuk dua beranak direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua beranak termasuk pengarah sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Selangor direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Selayang dekat sini.

Turut direman tempoh yang sama sehingga Rabu hadapan ialah enam lagi individu iaitu pekerja mereka merupakan lelaki warga asing Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd. Fadhli Nik Azlan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Kesemua mereka yang ditahan diwakili dua peguam.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan pihaknya menahan lapan individu terbabit termasuk dua beranak di sekitar Rawang pada pukul 11.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong dipercayai bermula daripada premis syarikat tersebut.

“Susulan itu, kita menahan dua lelaki iaitu seorang berusia 62 tahun dan anaknya berusia 31 tahun yang merupakan pengarah syarikat berkenaan.

“Selain itu, kita turut menahan enam pekerja mereka termasuk empat lelaki warga asing Nepal, Pakistan dan Myanmar bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan telah mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang melibatkan kira-kira lima juta pengguna.

Siasatan Air Selangor turut mengesan bau bahan pelarut yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya