NFA Mohd. Khairuddin: Pendakwaan antara dua darjat - Utusan Malaysia

NFA Mohd. Khairuddin: Pendakwaan antara dua darjat

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Keputusan tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali jelas menunjukkan wujud pendakwaan antara dua darjat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata, beberapa kes melibatkan rakyat biasa yang melanggar arahan kuarantin telah dikenakan denda dan penjara manakala seorang Menteri pula dibebaskan begitu sahaja.

“Sebagai contoh, dua hari lepas seorang juruteknik swasta telah dipenjara 14 hari dan didenda sebanyak RM1,000 selepas gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin.

“Tindakan yang tidak adil ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan malangnya dengan kelemahan integriti dan kerakusan pangkat, lebih banyak ketidakadilan yang akan berlaku selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kertas siasatan oleh polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan NFA ke atas Mohd. Kharuddin.

Tegas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, keputusan berkenaan seolah-olah menafikan pengorbanan dan usaha petugas barisan hadapan serta rakyat melawan Covid-19.

Ujarnya, jika perkara itu dibiarkan, maka akan terbentuklah pemerintah yang zalim kerana amalan hukum bukan berdasarkan undang-undang saksama tetapi mengikut tahap kedudukan dan pangkat.

“Rakyat terpaksa akur dengan arahan yang sering bertukar hampir sepanjang masa kerana adanya ugutan dan hukuman terpilih, namun hormat mereka kepada pemerintah semakin menghilang.

“Ketika seluruh negara berhadapan dengan kesengsaraan ekonomi, ramai yang hilang pekerjaan, ada yang hilang tempat tinggal, PN sanggup lakukan apa sahaja demi kekal berkuasa untuk kepentingan peribadi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya