Lukisan mural sejarah Negeri Sembilan tarikan baharu di Seremban - Utusan Malaysia

Lukisan mural sejarah Negeri Sembilan tarikan baharu di Seremban

LAI Teo Kuang tekun menyiapkan lukisan muralnya yang terletak di Jalan Yam Tuan, Seremban.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lukisan mural sepanjang 220 meter yang memaparkan sejarah dan latar belakang Negeri Sembilan dan terletak di Jalan Yam Tuan menjadi tarikan baharu kepada orang ramai untuk berkunjung ke bandar ini.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin berkata, lukisan mural itu merupakan satu lagi nilai tambah bagi produk pelancongan di Negeri Sembilan.

“Ini merupakan salah satu cara kita menarik para pelancong untuk menerokai bandar Seremban dengan adanya mural yang menarik ini.

“Selain bergambar, pelancong juga boleh memahami sejarah di sebalik lukisan mural ini yang berkonsepkan Negeri Sembilan misalnya paparan pakaian dan tarian tradisonal negeri,” katanya ketika mengadakan lawatan melihat proses melukis mural di Jalan Yam Tuan di sini hari ini.

Menurut Zazali, pihakNYA telah memperuntukkan kos sebanyak RM150,000 bagi kerja-kerja melukis dinding seni visual atau mural tersebut yang turut memaparkan peristiwa kemerdekaan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Pemilihan gambar bagi setiap mural dibuat oleh satu jawatankuasa khas dengan mengambil kira mesej yang boleh disampaikan kepada pengunjung dan masyarakat.

“Kerja-kerja melukis mural ini telah bermula sejak 19 Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan November ini,” katanya.

Sebanyak lima pelukis profesional terlibat dalan penghasilan mural ini iaitu Lai Teo Kuang (TK Lai), Zakir Amir Mohd Derus (Zorro), Nazarsham Mat Isa, Muhammad Afiq Othman (Bob Sopan) dan Mas Lizuaedy Shahriman Ab. Rahman.

Lai Teo Kuang atau mesra dengan nama TK Lai berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan yang berasal dari Tampin dia ternyata berbangga dapat menyumbang hasil seninya dan kemudian diabadikan di dinding di jalan tersebut.

“Konsep lukisan saya ada lukisan realistik dan 3D di mana pengunjung boleh bergambar dan mendalami seni yang saya paparkan misalnya lukisan tarian piring, pengunjung boleh bergambar seolah-olah sedang menari dan memegang piring.

“Saya berharap masyarakat dapat menghargai setiap lukisan yang dipaparkan dan tidak melakukan vandalisme kerana hasil seni tersebut merupakan aspirasi pelukis dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.