LMS ketiga TLDM siap dibina dan selamat diturunkan ke dalam air - Utusan Malaysia

LMS ketiga TLDM siap dibina dan selamat diturunkan ke dalam air

LMS TLDM yang ketiga sudah siap dibina dan selamat diturunkan ke dalam air di Wuhan, China untuk ujian seterusnya. - Gambar TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapal pesisir pantai (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang ketiga telah selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke dalam air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, China, Rabu lalu.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kapal itu akan menjalani Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan. 

Namun katanya, susulan penularan wabak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia dan China, upacara rasmi penamaan LMS ketiga itu  telah ditangguhkan.

“Upacara itu akan dilaksanakan serentak dengan Penyerahan Fizikal kapal yang dijadual dilaksanakan pada September 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, LMS ketiga itu bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD Keris  iaitu LMS pertama dan Sundang (LMS kedua). 

Kapal pesisir pantai TLDM yang ketiga akan diserahkan kepada kerajaan pada September 2021.

Bagi LMS Sundang katanya, penyerahan kapal itu sepatutnya dijadualkan pada 12 April 2020  tetapi turut terjejas susulan pandemik Covid-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan apabila selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China. 

“Sebuah lagi kapal LMS iaitu yang keempat dijangka dilancarkan November ini,” kata kenyataan itu. 

Menurutnya, perolehan kapal LMS dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC), China.

“LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5,” ujarnya.

Katanya, LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia. 

“LMS ketiga ini bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021,” tambahnya.

Kenyataan itu menyebut, anak kapal bagi LMS ketiga dijangka diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian di negara itu pada Mei 2021. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN