KUALA SELANGOR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih menjalankan kerja pembersihan dan proses menyedut minyak susulan kemalangan sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Larut, Bestari Jaya di sini hari ini.
LUAS dalam kenyataannya berkata, kemalangan melibatkan lori konkrit itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi dan menyebabkan kenderaan tersebut terbabas sehingga memasuki sebuah saliran air yang mengalir ke Sungai Selangor.
“Sebanyak lapan ‘oil boom’ dan 10 ‘absorbent pad’ segera diletakkan bagi menghentikan aliran minyak.
“Selain itu, kita telah mengambil pesampelan di sekitar lokasi kemalangan tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
“Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turut membantu menjalankan pemantauan serta siasatan bagi mengelak berlaku pencemaran sungai,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah LUAS, pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga kerja pembersihan dan menyedut minyak selesai di saliran air tersebut.
“Sehingga pukul 3.40 petang tadi, kerja pengalihan lori itu telah selesai dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










