JOHOR BAHRU: Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura akan dibuka pada suku pertama tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, operasi JETCO itu dilihat mampu membawa masuk pelaburan, mempromosi sektor pelancongan dan pertukaran kebudayaan antara negeri ini dan Singapura.
“Semua kos menubuhkan JETCO dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri dan operasinya tidak akan melibatkan isu-isu berkaitan diplomatik atau hubungan dua hala,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian inisiatif Unit Strategik Modal Insan dan pelancaran buku Panduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini.
Minggu lalu, kerajaan Pusat meluluskan penubuhan JETCO di Singapura yang merupakan usaha kerajaan negeri dalam mendepani cabaran global pasca Covid-19.
Penubuhan JETCO merupakan salah satu daripada Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan Jun lepas.
Hasni berkata, pejabat JETCO akan diketuai seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan manakala kakitangannya terdiri daripada rakyat Johor dan negara republik itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Hasni berkata, kewujudan JETCO diharap mampu menarik pelaburan dari negara jiran.
“Ini bagi memastikan pelaburan terus masuk ke negeri ini dan langkah itu akan membuatkan ekonomi Johor pulih lebih awal berbanding negeri lain.
“Akibat penularan pandemik tersebut, ekonomi Johor menguncup dan sasaran pelaburan RM26 bilion diperoleh pada suku kedua tahun ini tidak menjadi kenyataan sebaliknya hanya memperoleh RM6 bilion,” katanya. – UTUSAN ONLINE










