Dua anggota polis, lelaki bergelar Datuk direman 21 hari - Utusan Malaysia

Dua anggota polis, lelaki bergelar Datuk direman 21 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis serta ahli perniagaan bergelar Datuk kini direman polis selama 21 hari bermula semalam hingga 3 November ini.

Ketiga-ketiga suspek berusia 34 hingga 39 tahun itu direman  di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek itu dikeluarkan Majistret S.Mageswary kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Loi Yap Loong dan Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili ketiga-tiga suspek memohon agar anak guam mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. 

Permohonan itu dibuat atas alasan masalah kesihatan termasuk memudahkan proses siasatan. 

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin tidak membantah terhadap permohonan tersebut.

Difahamkan, dua anggota berpangkat koperal itu bertugas di bahagian siasatan jenayah di Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.

Jelasnya, kesemua suspek akan disiasat berhubung kes melibatkan perjudian dalam talian di Cheras.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, pihak polis kini giat memburu seorang lagi suspek bergelar ahli perniagaan yang melarikan diri melalui pintu belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Ahad lalu.

“Suspek dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM  dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua pegawai polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN