Dituduh bunuh suami buta - Utusan Malaysia

Dituduh bunuh suami buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dan adik lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini atas tuduhan membunuh suaminya yang buta, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada peniaga kedai makan, G. S. Angela Dewi, 45, dan adiknya, G. S. Vijaya, 42, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan kerana kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pasangan itu difahamkan telah berkahwin sejak 17 tahun yang lalu.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu didakwa membunuh R. Devarajoo, 59, di antara jam 12 tengah hari dan 1 petang, 1 Oktober lalu di sebuah rumah kediamannya di Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan segala dokumen yang berkaitan.

Media kelmarin melaporkan seorang wanita telah merancang pembunuhan suaminya yang buta bagi mendapatkan harta milik lelaki itu yang dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta.

Dalam kejadian tersebut, wanita terbabit telah mengupah adik lelakinya untuk membunuh suaminya yang menjalankan perniagaan lori dengan menawarkan upah sebahagian daripada harta milik mangsa.

Menurut sumber, suspek dikatakan akan mendapatkan harta termasuk aliran tunai milik suaminya yang berjumlah lebih RM2 juta termasuk RM800,000 daripada insurans ekoran kematian mangsa.

Laporan media menyebut adik lelaki wanita terbabit telah menghentak kepala mangsa menggunakan tukul besi. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya