KANGAR: Ekoran benih padi tidak berkualiti yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat pembekal menyebabkan hasil beras negara merosot kira-kira 300,000 tan metrik setahun dengan kerugian para pesawah pula dianggarkan mencecah sehingga RM300 juta.
Malah, untuk menampung keperluan di negara ini ekoran kekurangan itu, kerajaan terpaksa mengimport sekitar 1.2 juta tan metrik beras atau 30 hingga 35 peratus setahun khususnya dari Thailand, Vietnam dan India. Keperluan beras di negara ini, sekitar 3.6 hingga 3.8 juta tan metrik.
Dianggarkan sekitar 1.8 juta tan metrik beras dihasilkan dengan nilai RM3.6 bilion setahun, namun jumlah tersebut dikatakan merosot sehingga 20 peratus berikutan masalah kekurangan hasil padi yang berlarutan sejak sekian lama ekoran isu benih.
Sehubungan itu, kerajaan digesa menghapuskan skim pemberian kuota benih padi subsidi kepada syarikat-syarikat pengeluar bagi mewujudkan persaingan lebih terbuka.
Selain itu, ia juga dapat menawarkan pilihan lebih banyak kepada pesawah dalam mendapatkan produk yang benar-benar berkualiti.
Pengerusi Persatuan Kilang Beras Skim Pusat Belian Kedah/Perlis, Marzukhi Othman berkata, subsidi itu sepatutnya diberikan terus kepada para pesawah melalui skim subsidi harga padi dari RM360 untuk hasil satu tan padi kepada RM450 untuk jumlah sama.
Katanya, langkah itu, bagi membolehkan para pesawah di negara ini membeli sendiri benih padi yang lebih berkualiti daripada mana-mana pengeluar seterusnya menghasilkan padi yang berkualiti setiap tahun.
“Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji menghapuskan pemberian kuota benih padi subsidi kepada syarikat pengeluar tersebut sebaliknya subsidi itu disalurkan terus kepada para pesawah.
“Kemerosotan hasil padi itu antara lain berpunca daripada kualiti benih padi yang dibekalkan itu sendiri, selain masalah kelewatan dan kekurangan bekalan yang boleh dikatakan berlaku saban tahun.
“Apabila kerajaan memberhentikan kuota tersebut akan memberi peluang kepada pembekal-pembekal bersaing menghasilkan benih yang berkualiti dan para pesawah pula mempunyai banyak pilihan selepas itu,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 50 pengilang beras seluruh negara di sini.
Tambah Marzukhi, sebelum ini, ketika benih-benih padi tersebut dibekalkan kepada para pesawah melalui Jabatan Pertanian, masalah kemerosotan hasil padi tidak berlaku.
“Namun, Apabila kuota subsidi mula diberikan kepada syarikat-syarikat pengeluar sejak 13 tahun lalu, kita mula melihat penurunan demi penurunan daripada segi kualiti dan penghasilan padi. Kesannya terpaksa ditanggung oleh para para petani,” katanya.
Seorang lagi pengilang beras, Chan Lye Yew berkata, kuota benih padi subsidi yang dibekalkan kepada syarikat terbabit perlu dihapuskan agar pasaran benih itu lebih terbuka seterusnya memberi pilihan kepada para pesawah membeli benih berkualiti.
“Ketika ini, petani tidak ada pilihan termasuk terpaksa menerima benih yang tidak berkualiti seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan dan penghasilan padi.
“Jika padi yang berkualiti dihasilkan, maka penghasilan beras di negara ini juga meningkat sekali gus mengurangkan kebergantungan pada beras import. Kita mampu menghasilkan padi yang berkualiti jika benih yang digunakan itu betul-betul bermutu,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan membekalkan kuota benih padi subsidi sebanyak 72,000 tan metrik setahun kepada kira-kira sembilan syarikat yang diberikan tanggungjawab sejak 2007. – UTUSAN










