Belajar dalam talian jejaskan prestasi siswa teknikal, kejuruteraan 50 peratus - Utusan Malaysia

Belajar dalam talian jejaskan prestasi siswa teknikal, kejuruteraan 50 peratus

Bukan semua pengajian boleh dijalankan dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengajian dalam talian ekoran pandemik Covid-19 boleh menyebabkan kualiti mahasiswa jurusan teknikal dan kejuruteraan merosot sehingga 50 peratus berbanding pembelajaran bersemuka di bengkel dan dewan-dewan kuliah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jurusan tersebut sebenarnya memerlukan pelajar berkenaan terlibat dalam kerja praktikal dan menggunakan peralatan bersesuaian.
“Prestasi para pelajar dilihat menurun sebanyak 50 peratus kerana hanya separuh pembelajaran dapat dilaksanakan melalui sistem atas talian.
“Pembelajaran jurusan kritikal dan teknikal seperti kejuruteraan dan senibina memerlukan tugasan dijalankan secara praktikal kerana jika tidak, pelajar hanya memahami teori dan boleh menjadi risiko apabila mereka mula bertugas kelak,” katanya yang juga mengajar dalam bidang berkenaan ketika dihubungi semalam.
Namun katanya, ketika ini pihak universiti juga tidak mempunyai pilihan selain menjalankan kelas atas talian dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Sebanyak 1.34 juta pelajar sedang mengikuti pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan ketika ini.
Sahol Hamid yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan awam, pengurusan banjir, hidrologi, kejuruteraan persekitaran dan analisis ekonomi sumber air berkata, seorang jurutera haruslah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi sebelum boleh menjadi jurutera bertauliah.
“Sekiranya, pembelajaran seperti ini berlanjutan maka ia sudah tentu akan memberi kesan kepada bakal jurutera.
“Untuk melayakkan seseorang menjadi jurutera bertauliah, dia perlu mempunyai pengalaman berkhidmat dalam industri itu. Kini, jika para pelajar tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk bekerja dalam industri maka potensi mereka untuk berjaya dalam industri boleh terkesan sama,” katanya.
Sementara itu, mahasiswa kejuruteraan dan bidang teknikal di universiti-universiti awam turut melahirkan keresahan berikutan pengajian secara dalam talian yang mempunyai kelemahan terutamanya dari segi praktikal.
Ini kerana bidang pengajian mereka memerlukan latihan yang intensif serta kerja lapangan yang memerlukan pemerhatian daripada pensyarah.
Menurut pelajar tahun akhir jurusan seni reka bentuk di Universiti Putra Malaysia (UPM), Amil Ariff Razak, sejak mula belajar dalam talian, dia dan rakan menghadapi kesukaran dalam berkomunikasi dengan pensyarah.
“Jurusan yang saya ambil melibatkan kerja lapangan reka bentuk dan sangat memerlukan interaksi berkesan untuk menghasilkan reka bentuk berguna dan sempurna,” katanya.
Turut berkongsi keluhan yang sama, pelajar kejuruteraan mekanikal UiTM, Hazmiera Amrisya Haslan yang mengatakan pembelajaran dalam talian menjadikan pembelajaran agak sukar bagi mereka terutama jika dikehendaki untuk menjalankan tugasan praktikal.
“Ini kerana jurusan yang saya belajar memerlukan penilaian dari segi bengkel dan makmal jadi disebabkan arahan untuk belajar dalam talian, hal ini agak sukar bagi kami mendapat markah yang baik.
“Jika di rumah kami tidak mempunyai alatan atau mesin yang lengkap untuk melakukan tugasan praktikal yang diberikan dan hanya dengan melihat video yang diberikan, agak kurang membantu kami untuk memahami proses-proses tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN