‘Anak nak sekolah, kami tak mampu’ - Utusan Malaysia

‘Anak nak sekolah, kami tak mampu’

NOR Adini Badrul Din (dua dari kiri) bersama anak-anaknya dengan kelengkapan baharu sekolah yang disumbangkan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Yayasan Pok dan Kassim di Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Setiap hari, anak-anak ada sebut hendak pergi sekolah tetapi kami yang tidak ada duit untuk hantar mereka ke sekolah.”

Demikian luah seorang ibu, Nor Adini Badrul Din, 41, yang terpaksa membiarkan lima anaknya, berusia antara 16 hingga lapan tahun, tidak pergi ke sekolah sejak lebih tujuh bulan lalu ekoran kesempitan hidup.

Nor Adini yang tinggal di Pangsapuri Seri Sena di sini memberitahu, suaminya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan ha­rian sekitar RM40 manakala dia pula sudah tidak dapat beker­ja sejak dua tahun lalu akibat kencing manis.

Katanya, mereka tidak mampu menampung keperluan anak-anak ke sekolah malah kehidupan bertambah teruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Anak-anak memang hendak ke sekolah, tapi kami yang tidak mampu untuk beri duit belanja dan keperluan lain. Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang masak bagi membantu suami, sekarang saya sudah tidak mampu bekerja,” katanya.

Terdahulu wanita tersebut bersama anak-anaknya dibawa wakil Jabatan Pendidikan Ne­geri (JPN) Perlis dan Yayasan Pok dan Kassim (YPK) bagi membeli kelengkapan baharu sekolah.

Keluarga tersebut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM450 dan RM200 daripada Baitulmal.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Hal Ehwal Murid JPN Perlis, Nur Adibah Khairiyah Thew Abdullah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai ketidakhadi­ran anak-anak Nor Adini ke sekolah dan telah mengunjungi rumah keluarga terbabit bagi mengenal pasti masalah mereka.

Katanya, dua daripada lima beradik itu akan dihantar ke sekolah berasrama penuh sekitar negeri ini dan pihaknya akan sentiasa memantau perkemba­ngan serta kehadiran anak-anak keluarga tersebut agar masalah keciciran dapat dielakkan.

“Kita mengambil serius ma­salah keciciran sekolah dalam kalangan pelajar dengan keba­nyakannya disebabkan faktor keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN