Agihan kerusi PRU-15 antara dituntut UMNO - Utusan Malaysia

Agihan kerusi PRU-15 antara dituntut UMNO

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Agihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 merupakan antara isi kandungan syarat dan perjanjian baharu kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber, perkara itu bagi mengelakkan berlakunya pertembungan kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga mencetuskan pertandingan tiga penjuru seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Oleh itu, UMNO mahu satu perjanjian bertulis yang turut membabitkan agihan kerusi lebih tersusun daripada mengelakkan pertembungan.

“Jika ini tidak berlaku, maka akan ada pertembungan tiga penjuru, kalau boleh kita hendak satu lawan satu iaitu antara PN atau Barisan Nasional (BN) lawan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam..

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh mendedahkan perkara berkenaan.

Katanya, butiran perjanjian berkenaan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN dalam pertemuan secara sidang video selama 45 minit yang berlangsung semalam.

Beliau memaklumkan, pertemuan itu hanya membabitkan Muhyiddin dengan dua wakil rasmi UMNO iaitu beliau sendiri dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Kami telah mengemukakan hasrat UMNO kepada Perdana Menteri berhubung perlu adanya perjanjian dan persefahaman baharu secara bertulis antara parti dengan PN.

“Ini bukan ugutan politik. Terpulang kepada pandangan masing-masing. UMNO cuma ingin menyatakan fakta yang benar kerana kami memiliki jumlah kerusi besar berbanding parti lain dalam PN.

“Oleh itu, UMNO perlu ruang sewajarnya dalam PN setelah meneliti beberapa isu politik khususnya selepas PRN Sabah baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN