BERA: Seramai 250 peserta kursus jahitan baju sekolah di daerah ini teruja untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) masing-masing sebagai pengiktirafan kemahiran dalam bidang itu.
Peserta yang ditemui Utusan Malaysia mengakui kursus jahitan baju sekolah selama 10 hari bermula 9 Oktober lalu itu memberi pendedahan kepada mereka khusus wanita luar bandar termasuk ibu tunggal menceburi bidang berkenaan.
Program berkenaan adalah Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi menangani kesan pandemik Covid-19.
Ketua projeknya, Datuk Sabariah Saidan berkata, peserta jahitan terdiri daripada penduduk daerah Bera dan Temerloh yang diberi latihan asas jahitan oleh pakar dalam bidang berkenaan.
“Pengendalikan kursus iaitu Penna Writs Resources PLT menyediakan lebih 60 mesin jahit untuk peserta kursus mempelajari asas jahitan.
“Ada peserta tidak pernah menggunakan mesin jahit tetapi cepat menguasai pelbagai teknik jahitan kerana minat mendalam dalam bidang berkenaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Seminar Keusahawanan Sempena Kursus Jahitan Baju Sekolah Mini Pukal kelolaan PennaWrites Resources PLT membabitkan 250 peserta di Dewan Padang Luas di sini semalam.
Menurut Sabariah, sebanyak 500 pasang baju yang dihasilkan peserta kursus berkenaan akan didermakan kepada pelajar sekolah terpilih daripada kalangan keluarga miskin di daerah ini.
Seorang peserta, Selmah Ismail, 64, dari Kampung Batu Papan berkata, kemahiran menjahit pelbagai fesyen pakaian menjadi lubuk rezeki kepada individu untuk menjana pendapatan harian.
“Ini kerana industri fesyen pakaian hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hingga ramai mengambil peluang menjadikan industri ini sebagai lubuk rezeki kepada mereka yang mahir dalam bidang jahitan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Siti Sarah Teh, 64, pula berkata, walaupun bertongkat dia tetap menggagahkan diri menyertai kursus jahitan berkenaan kerana minat dalam bidang itu.
“Saya berharap cadangan membina bangunan khas di sini untuk usahawan wanita aktif dalam bidang jahitan menjadi kenyataan tahun depan,” katanya.