12 tahanan lokap jalani saringan Covid-19  - Utusan Malaysia

12 tahanan lokap jalani saringan Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 12 tahanan reman yang ditempatkan di lokap transit Balai Polis Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini telah menjalani ujian saringan Covid-19 kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata,  pihaknya sedang menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas kesemua tahanan terbabit termasuk seorang daripadanya yang merupakan kontak rapat kepada tahanan yang disahkan positif Khamis lalu. 

Menurutnya, kesemua tahanan terbabit akan dipindahkan dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah  Seberang Perai Selatan (IPD SPS) sekiranya ujian mereka negatif.

“Mereka termasuk seorang kontak rapat berada di lokap transit bersama  seorang tahanan yang positif Covid-19. Mereka telah disaring pada 15 dan 16 Oktober lalu.

“Sekiranya keputusan yang diperoleh adalah positif, kesemua tahanan terbabit akan menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sahabudin memberitahu, kes positif Covid-19 membabitkan seorang tahanan lokap adalah  yang pertama  dicatatkan di negeri ini.

Menurutnya, tahanan terbabit ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan pada 13 Oktober lalu dan disaring keesokan harinya.

“Dia kemudiannya telah mendapatkan rawatan di hospital sejurus disahkan positif Covid-19 Khamis lalu,” ujarnya.

Sahabudin menambah, lokap transit telah ditempatkan di setiap lima daerah di negeri ini dan kesemuanya telah menjalani proses sanitasi oleh pihak berkuasa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya