fbpx

Tapak pelupusan sampah Kampung Bukit Takal terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 0.4 hektar tapak pelupusan sampah di Kampung Bukit Takal di sini terbakar awal pagi ini.

Kebakaran pusat pelupusan sampah milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu turut menyebabkan asap tebal menyelubungi sekitar kawasan penempatan berdekatan. 

Seorang penduduk di Perumahan Desa Solehah, Raja Roshani Raja Ali, 63, berkata, sejak semalam mereka mula menghidu bau asap dan keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kepulan asap tebal  menyelubungi sekitar penempatan mereka.

“Ada juga kawan-kawan mengadu pedih mata dan tidak tahan bau asap, mujur bomba sampai sejak awal pagi jadi kami tidak bimbang lagi,” katanya yang tinggal kira-kira 700 meter daripada tapak pelupusan itu

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, tindakan pantas pihaknya memadamkan kebakaran tersebut berjaya mengawal api daripada merebak. 

Katanya, bomba dengan kekuatan 18 anggota dan dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian di samping turut mendapat bantuan jengkaut daripada MPK bagi kerja-kerja pemadaman api.

“Secara keseluruhan kebakaran sudah dapat dikawal dan penduduk tidak perlu risau dengan keadaan ini. Kita minta orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan agar tidak mendekati kawasan tersebut.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 7 malam ini tetapi pihak bomba masih membuat pemantauan,” katanya. -UTUSAN

POPULAR