KUALA LUMPUR: Kekurangan perjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai ‘kritikal’ jika diukur dari sudut nisbah polis dengan penduduk di negara ini yang jauh ketinggalan dengan standard piawaian ditetapkan Polis Antarabangsa (Interpol) iaitu 1: 250.
Ini berlaku terutamanya di bandar-bandar besar seperti di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang hanya mempunyai 1,648 perjawatan polis namun jumlah penduduk hampir mencecah dua juta orang iaitu nisbah polis dengan penduduk 1:1,213.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM sangat memerlukan pertambahan perjawatan kerana populasi penduduk semakin ramai serta kewujudan premis kediaman baharu.
“Apabila buka perumahan baharu, balai tidak ada dan penduduk mengadu masalah sukar mahu membuat laporan. Jadi, pemaju beri premis kedai untuk dijadikan balai sementara tetapi kami pula kekurangan kekuatan untuk ditempatkan.
“Kerja polis sangat banyak, belum lagi siapa yang perlu kendalikan saman, angkat mayat, cegah lumba haram dan lain-lain. Belum lagi mereka yang berpencen, jadi kami amat memerlukan pertambahan perjawatan dalam PDRM,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman (Perkhidmatan/ Perjawatan), Datuk Kasuahdi Ali berkata, selain Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang didedahkan KPN sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga antara jabatan PDRM yang kekurangan pegawai dan anggota walaupun bebanan tugas semakin berat serta bertambah.
Katanya, JSJK hanya mempunyai 2,194 perjawatan namun itu tidak mencukupi untuk mengendalikan kes-kes jenayah komersial yang semakin kompleks dan rumit.
“Ini juga berlaku pada JIPS yang memerlukan pertambahan sebanyak 1,200 perjawatan baharu namun kita hanya mampu mendapatkan 400 perjawatan. Selain itu, terdapat sebanyak 11 lagi kertas kerja dalam kajian untuk permohonan baharu termasuk pertambahan perjawatan JSJN.
“Setiap tahun, akan berlaku pengurangan dan memerlukan pengisian kadar segera bagi melaksanakan tugas-tugas kepolisan. Kerajaan memperuntukkan 6,000 ke 7,000 pengambilan pelatih baharu bagi pengisian kekosongan sedia ada. Namun begitu, pada tahun 2020, kita hanya mampu mengambil seramai 2,953 pelantikan baharu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda,” katanya.
Mengulas lanjut, Kasuahdi berkata, selain tiga jabatan itu, pihaknya juga telah memohon perjawatan baharu untuk beberapa IPD, balai polis kategori E, pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selain menaik taraf Kontinjen Perlis dan Kelantan.
Miisalnya, kata beliau, IPD Sungai Buloh dan IPD Wangsa Maju yang berkategori A namun perjawatan yang ditempatkan tidak selaras seperti dikehendaki sehingga terpaksa beroperasi menggunakan kekuatan secara pentadbiran.
“Ini antara cabaran tiga IPD ini yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai selain perlu menangani pelbagai kes melibatkan dadah, jenayah, trafik dan lain-lain.Selain itu, IPD Kuala Nerus (Terengganu) dan dua IPD di Perak iaitu Ipoh Barat dan Ipoh Timur sepatutnya menjadi IPD baharu namun usaha itu tidak dapat dilaksanakan kerana masalah tiada perjawatan.
“Bagi perjawatan di balai pula, kita memerlukan sekurang-kurangnya 35 perjawatan bagi memastikan balai polis dapat beroperasi secara asas. Namun, sebanyak 473 balai polis kategori E hanya ada antara empat hingga 34 pegawai dan anggota,” ujarnya. – UTUSAN









