Pasangan kekasih digantung sampai mati bunuh kanak-kanak lima tahun - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih digantung sampai mati bunuh kanak-kanak lima tahun

R. Saravanan Kumar dan T. Gayathry, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita pada 2014.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepasang kekasih selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Saravanan Kumar, 30, and T. Gayathry, 36, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah tidak boleh menerima alibi tertuduh pertama, Saravanan Kumar bahawa tertuduh tidak berada di lokasi kejadian memandangkan tidak ada kenyataan bertulis daripada saksi.

Beliau turut mendapati tertuduh kedua, Gayathry yang juga ibu kepada mangsa tidak bertindak seperti sepatutnya seorang ibu ketika berdepan dengan situasi yang mana anaknya dibunuh.

Pada 13 Oktober 2014, pasangan kekasih itu didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam dekat sini atas kesalahan membunuh S. Kaviarasan yang ketika itu berumur lima tahun.

Pasangan tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ladang, Permatang Serai di Bukit Tengah di sini antara pukul 8 pagi pada 20 September dan 11.25 pagi, 29 September 2014.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ikat jamin tidak dibenarkan untuk kesalahan itu.

Kanak-kanak tersebut dikatakan dibunuh secara tidak sengaja oleh ibunya di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak di ladang sawit berhampiran Permatang Tinggi, Bukit Tengah dekat sini.

Mayatnya ditemukan oleh polis kira-kira sembilan hari selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Ibu mangsa ketika itu dilaporkan membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya hilang ketika bersiar-siar dekat Esplanade di sini, pada 23 September 2014.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya