Parti Syed Saddiq tidak akan berjaya -Dr.Mahathir - Utusan Malaysia

Parti Syed Saddiq tidak akan berjaya -Dr.Mahathir

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti berasaskan golongan muda yang dicetuskan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan berjaya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun peratusan golongan muda yang berada di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agak besar, namun kata pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad, mana-mana kawasan di negara ini tidak boleh bergantung kepada golongan muda semata-mata.

Bagaimanapun, jelasnya, beliau menghormati hasrat Syed Saddiq walaupun difahamkan perbincangan mengenai penubuhan parti, strategi, kedudukan dan jawatan belum diumumkan kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang meraikan pendapat, pandangan serta hak mana-mana golongan yang ingin menubuhkan parti.

“Saya tidak tahu kenapa beliau mahu bentuk parti baharu kerana dalam mana-mana kawasan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) mesti ada orang tua dan orang muda, jika dia hanya merayu (undi) pada golongan muda semata-mata, tidak boleh menang.

“Dia dahulu merupakan penyokong kuat Pakatan Harapan sekarang dia rasa perlu menjauhkan diri daripada kita. Jadi, kami ada hubungan yang baik dengan dia, kita tiada masalah sekiranya (hasrat parti) adalah untuk menentang rasuah dan perkara seumpama itu,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat Syed Saddiq yang ingin menubuhkan parti bagi mengangkat martabat golongan muda di negara ini sekali gus berupaya menambah bilangan ahli parlimen dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Syed Saddiq, 28, baru-baru ini mendakwa partinya bakal mendapat sokongan baik daripada anak muda selepas mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama ikon dan pempengaruh terkenal.

Dalam mesyuarat Rundingan Muda Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman baru-baru ini, Ahli Parlimen Muar itu memberitahu, rata-rata peserta membangkitkan keperluan orang muda terlibat secara langsung dalam politik nasional tanah air tanpa mengira latar belakang dan warna kulit. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya