Masih lagi ingkar kunjungi premis hiburan - Utusan Malaysia

Masih lagi ingkar kunjungi premis hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Meskipun pihak polis giat melancarkan operasi, namun terdapat masih ada lagi segelintir yang ingkar berhibur di kelab malam tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terbaharu, polis Johor mengeluarkan kompaun kepada 51 individu dalam serbuan dijalankan di sebuah premis hiburan di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, operasi itu dijalankan pihaknya pada pukul 2.30 pagi. 

Katanya, pihaknya turut menahan pengurus premis berkenaan yang berusia 26 tahun kerana menjalankan operasi melebihi waktu ditetapkan. 

“Ketika operasi dijalankan, kesemua 51 individu sedang berhibur tanpa menghiraukan SOP PKPP ditetapkan. 

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati 19 daripada mereka positif penyalahgunaan dadah, melibatkan 12 lelaki dan lima wanita tempatan, serta dua wanita Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd. Afzanizam, pihaknya turut menyiasat dua wanita rakyat Vietnam yang didapati tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan. 

“Kesemua 51 individu terlibat yang berusia antara 18 dan 55 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang. 

“Suspek terlibat direman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. 

Mohd. Afzanizam turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. 

“Kita meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan salah laku kepada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya