Kontraktor mengeluh harga bahan binaan naik 20 peratus - Utusan Malaysia

Kontraktor mengeluh harga bahan binaan naik 20 peratus

Kenaikan harga bahan binaan dikhuatiri turut menyebabkan rumah baharu dijual lebih mahal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belum reda isu pengangguran dan kesuraman ekonomi, kini timbul masalah lain yang dijangka membelenggu rakyat.

Dengan peningkatan harga barangan binaan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pembeli rumah, tetapi turut membebankan 30,000 kontraktor kelas F yang bagai mati hidup semula selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, kenaikan sebanyak 20 peratus itu membabitkan bahan seperti simen, batu-bata, pasir dan pelbagai lagi bahan asas dalam sektor pembinaan.

“Sebagai contoh harga simen sebelum ini antara RM 14.50 sehingga RM15 tetapi harga baharu adalah RM17.50 ke RM18.00 untuk 50 kilogram (kg). Itu belum lagi harga barangan lain. Bagi kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan pasti terbeban kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) menetapkan harga siling lama.

“Oleh itu, mana-mana kontraktor yang mahu melaksanakan projek kerajaan perlu ikut harga JKR. Jika harga tidak sama daripada senarai ditetapkan, akan timbul masalah apabila audit nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain itu harga premix juga mengalami kenaikan antara RM10 hingga RM20 satu metrik tan menjadikan harga terbaru antara RM155 ke RM160 satu metrik tan di kuari dan bertambah mengikut jarak.

Harga besi turut diramalkan mengalami kenaikan sebanyak sembilan peratus ke 17 peratus pada bila-bila masa sahaja berbanding harga terkini iaitu antara RM2,150 ke RM2,300 satu metrik tan.

Dalam pada itu, Tukiman berharap kerajaan mengkaji semula senarai harga yang ditetapkan sebelum ini bagi mengurangkan bebanan 30,000 kontraktor kelas F yang berdaftar.

“Sekarang pun jika ada projek pembinaan pun hanya cukup makan. Untung tidak banyak.Jika dibiarkan dalam jangka masa lama, boleh menyebabkan kontraktor gulung tikar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tukiman dalam masa yang sama turut menggesa kerajaan mengawal selia dan memantau harga bahan binaan bagi mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, penyambungan semula projek-projek mega antaranya seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan campur tangan dengan meletakkan harga siling bagi setiap bahan binaan supaya pembekal tidak menaikan harga sesuka hati.

“Harga simen pernah diuar-uarkan dinaikan sebanyak 40 ke 50 peratus pada Jun 2019, mujurlah terdapat bantahan daripada pemain-pemain industri binaan dan campur tangan kerajaan telah menstabilkan semula harga bahan tersbut.

“Sementara itu, harga besi diramalkan mengalami kenaikan sebanyak sembilan peratus ke 17 peratus pada bila-bila masa sahaja. Harga besi pada kadar RM2,150 ke RM2,300 satu metrik tan,” katanya.

Abd. Gapar yang juga Naib Presiden PKMM berkata, kenaikan harga bahan-bahan binaan utama itu pasti menjejaskan hasrat kerajaan untuk membantu kontraktor yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Oleh itu katanya, PKMM meminta kerajaan supaya melaksanakan semula kaedah variation of price (VOP) setelah dimansuhkan pada 2015.

“Kaedah ini dapat membantu kontraktor untuk menampung sebahagian daripada kos kerugian akibat kenaikan harga bahan-bahan binaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN