Kerajaan kaji tingkat kompaun PKPP RM10,000 - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji tingkat kompaun PKPP RM10,000

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kerajaan mengkaji kompaun denda bagi kesalahan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 ke RM 10,000 bagi individu yang ingkar arahan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan akta tersebut perlu diperhalusi memandangkan turut melibatkan Akta Interpretasi.

“Ramai yang berpandangan untuk naikkan kadar dari RM1,000 ke RM10,000. Bagaimanapun, pindaan akta ini melibatkan Akta 342 bahawa kerajaan tiada pilihan kerana denda maksimum yang dibenarkan adalah RM1,000 sahaja.

“Sekarang ini (kerajaan) sedang membuat kajian kerana turut melibatkan akta lain,” katanya dalam sidang akhbar laporan harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan kadar kompaun dari RM1,000 ke RM10,000 ekoran penambahan jumlah individu yang mengingkari arahan PKPP.

Tambah Ismail Sabri, pihaknya dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berhubung pindaan tersebut perlu dilakukan selari dengan Akta Interpretasi.

“Kita dimaklumkan oleh Menteri Undang-undang bahawa sekiranya mahu meminda untuk meningkatkan hukuman , maka Akta Interpreatasi juga perlu dipinda.

“Kita telah menyerahkan kepada menteri undang-undang untuk melihat dan meneliti perkara ini serta berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan.

“Kalau perlu pinda kita pinda tetapi perlu diluluskan di Parlimen kerana melibatkan akta, ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kawalan sempadan diperketatkan bermula hari ini terutama membabitkan warga asing dari negara-negara musim sejuk dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Malah, pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan membuat perancangan secara lebih terperinci berkaitan isu terbabit terutamanya melibatkan kes import.

“Dalam mesyuarat tadi kita berbincang soal ini dan Kementerian Kesihatan melahirkan kerisauan berhubung kes akan meningkat mendadak apabila musim sejuk di negara Eropah dan Asia.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah rakyat Malaysia yang berada di negara musim sejuk dan mereka akan balik dan kita tidak boleh sekat rakyat untuk balik kerana bertentangan dengan akta.

“Sekarang ini kita melihat (tindakan) secara menyeluruh untuk rakyat tempatan dan warga asing,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya