KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap tauke judi termasuk membuat profil mereka dan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang biasanya membabtkan kes jenayah berat.
Itu pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kedegilan tauke-tauke judi yang masih bergiat aktif walaupun amaran telah dikeluarkan terhadap mereka agar menghentikan kegiatan tersebut.
Di bawah POCA, mereka yang terbabit juga boleh ditahan tanpa dibicarakan sehingga tidak melebihi dua tahun.
“Saya tidak mahu lagi mereka ini ditahan kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret dan dikenakan hanya hukuman denda
“Arahan telah dikeluarkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah untuk semua tauke-tauke judi ‘diprofilkan’ dan diambil tindakan bawah POCA,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Tenaga Malaysia bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap premis-premis yang menjalankan kegiatan judi.
Ujarnya, polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini mengambil tindakan memotong bekalan elektrik premis-premis judi.
“Tetapi dengan Suruhanjaya Tenaga, kita memohon kerjasama mereka untuk merampas peralatan elektrik di premis-premis yang menjalankan kegiatan itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya telah pun menyenaraikan individu-individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut jumlah mereka yang terlibat.
Jelasnya, siasatan masih berjalan dan sebaik sahaja semuanya selesai satu sidang akhbar akan dilakukan dalam masa terdekat mengenai perkara itu.
Mei lalu, Abdul Hamid memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Beliau secara sinis berkata, pegawai dan anggota masih mempunyai peluang untuk menghentikan sebarang hubungan dengan sindiket haram sebelum mereka ditahan.
Katanya, PDRM tidak akan bersubahat atau melindungi mereka yang menjalankan kegiatan haram di negara ini. – UTUSAN








