fbpx

24 September 2020, 4:53 pm

  TERKINI

‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ bergelut dengan polis

EMPAT individu yang bergelut dengan anggota polis dalam serbuan di sebuah premis di Banda Hilir dibawa ke Kompleks Mahkamah di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.– UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat individu dengan dua daripada mereka mengaku bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ ditahan selepas insiden bergelut dengan anggota polis dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan dekat Banda Hilir, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, kesemua suspek yang berusia 27 hingga 41 tahun, dikatakan berang selepas sepasukan polis ingin melakukan pemeriksaan ke atas mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan itu dilakukan selepas mendapati premis berkenaan beroperasi melebihi masa ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ketika serbuan dibuat, kita mendapati masih terdapat beberapa individu termasuk penjaga premis serta pelanggan di dalam kedai dan pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas mereka.

“Bagaimanapun, empat individu termasuk seorang daripada mereka mengakui bergelar ‘Datuk Seri’ tidak berpuas hati de­ngan prosedur tersebut sehingga berlaku pergelutan mengakibatkan seorang anggota polis cede­ra,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Afzanizar, anggota polis yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan dibenarkan pulang.

“Hasil soal siasat, salah seorang daripada empat individu tersebut juga merupakan rakan kongsi pemilik premis tersebut.

“Premis itu hanya menjalankan aktiviti perniagaan kafe serta memiliki lesen perniagaan yang sah dari pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, keempat-empat individu yang ditahan itu direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

“Seramai 12 orang yang berada di dalam premis itu turut dikompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (No 8) 2020,” katanya. – UTUSAN

POPULAR