fbpx

Dakwaan Anwar perlu dibuktikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengumuman bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti tanpa asas kukuh merupakan satu bentuk penyebaran berita palsu.

Ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara apatah lagi melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, tidak wajar membuat pengumuman itu tanpa alasan kukuh dan kebebasan bersuara tidak harus disalahguna bagi mengelirukan rakyat.

“Jika terbukti kenyataan itu dibuat tanpa bukti yang kukuh, maka ia adalah satu bentuk penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kita amat berharap cara ini tidak menjadi ikutan pada masa hadapan. Moga pemimpin dan ahli politik kita mengutamakan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik sendiri. Kita doakan moga Malaysia terus damai dan sejahtera dan mampu menghadapi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbarnya mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin tumbang selepas pihaknya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM itu lagi, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, meskipun frasa ayat ‘tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti’ tidak dijelaskan dengan terperinci dalam Perlembagaan namun ia boleh dilaksanakan dengan beberapa cara.

“Yang pertama melalui undian di Dewan Rakyat. Undian ini tidak semestinya melalui usul khusus untuk menilai kepercayaan, sebaliknya tahap sokongan terhadap usul rang undang-undang atau usul belanjawan sudah memadai untuk dijadikan kayu ukur bagi menilai sama ada Perdana Menteri hilang kepercayaan atau tidak.

“Keduanya adalah dengan mengemukakan senarai penuh sekurang-kurangnya 112 orang ahli Dewan Rakyat yang hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri sedia ada. Selepas senarai dikemukakan, ahli-ahli Dewan Rakyat perlu diberi masa yang munasabah untuk mengesahkan atau menafikan. Ini kerana mungkin senarai itu tidak benar.

“Ketiga pula dengan mengumpulkan semua ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya dan mengadakan sidang akhbar secara bersama bagi mengisytiharkan bahawa mereka telah hilang sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada. 

“Terakhir sekali adalah para pemimpin parti-parti yang menyokong boleh membuat sidang akhbar atau kenyataan media menyatakan sokongan blok ahli-ahli Parlimen parti masing-masing, namun cara ini perlu disusuli dengan tempoh yang munasabah bagi memberi peluang kepada mereka tidak setuju untuk membuat kenyataan balas,” katanya.

Beliau menjelaskan keempat-empat cara di atas hanyalah contoh, namun terdapat cara lain yang dapat menunjukkan bahawa Perdana Menteri ‘tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti’ boleh dilakukan dan bukannya melalui sidang akhbar dengan tanpa bukti yang kukuh.

“Tapi buat masa ini belum ada satu petanda yang jelas tentang dakwaan itu. Jadi boleh simpulkan bahawa kerajaan sedia ada masih kukuh dan teguh, tambahan pula parti yang menganggotai kerajaan atas nama Perikatan Nasional (PN) secara terbuka menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri,” katanya. -UTUSAN

POPULAR