LIPIS: Pada 3 Januari tahun lalu, seorang kanak-kanak masyarakat Orang Asli yang pulang ke kampung bersama keluarganya melecur hampir 70 peratus selepas terkena renjatan elektrik di pencawang elektrik Kampung Sentol di sini.
Semasa kejadian kanak-kanak berusia tujuh tahun itu, Christ Putra Hanafi dibawa bapanya, Hanafi Ajik, 33, ke kawasan pencawang berkenaan kerana hanya di situ mempunyai talian telekomunikasi.
Hanafi yang bertugas di Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur terpaksa ke situ kerana dia perlu membuat panggilan penting selepas dimaklumkan adiknya dimasukkan ke Hospital Bentong.
Namun ketika membuat panggilan telefon, Christ Putra telah masuk ke kawasan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) sebelum terkena renjatan elektrik.
Itulah hakikatnya yang dilalui segelintir masyarakat di negara ini khususnya Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi.
Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Norya Abas berkata, masalah telekomunikasi sememangnya membelenggu masyarakat Orang Asli di kawasan luar bandar apabila tidak sampai separuh perkampungan Orang Asli mempunyai liputan telekomunikasi.
“Banyak lagi yang tidak ada talian komunikasi, kalau ada pun tidak sampai separuh yang sampai, macam Pos Sinderut ada separuh dapat begitu juga di Pos Lenjang dan Pos Titom selain di Perak dan juga Kelantan lagilah teruk.
“Jadi kita berharap lebih banyak menara telekomunikasi dibina di kawasan penempatan Orang Asli bagi mengatasi masalah yang dihadapi setiap hari oleh mereka,” katanya di sini semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan walaupun Malaysia bakal menuju ke negara berpendapatan tinggi dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, tetapi kadar capaian internet dan liputan telekomunikasi masih lemah dan terkebelakang berbanding negara-negara lain.
Berdasarkan laporan dalam buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) edisi Ogos, bagi jalur lebar mudah alih, Malaysia berada di kedudukan keenam dalam negara ASEAN dengan kelajuan 24.44 Mbps dan tangga ke-85 pada peringkat global.
Untuk purata kelajuan muat turun bagi internet mudah alih, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.
Mengulas lanjut, Norya berkata, akibat ketiadaan liputan talian telekomunikasi, masyarakat Orang Asli terpaksa keluar jauh dari rumah masing-masing ke kawasan yang mempunyai liputan telekomunikasi.
Malah katanya, penduduk juga terpaksa berdepan pelbagai risiko pergi ke kawasan yang mempunyai liputan termasuklah di kawasan berbukit dan berhampiran pencawang elektrik.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara alasan yang diberikan pihak terbabit tidak membina menara adalah kerana ketiadaan bekalan elektrik di kawasan berkenaan menyebabkan terpaksa menggunakan penjana kuasa elektrik. – UTUSAN










