fbpx

70 peratus sudah keluar Bersatu – Mukhriz

Calon PRN Johor yang akan diperkenalkan nanti mestilah calon bersih, cekap dan amanah. - Mukhriz Mahathir

PUTRAJAYA: Kira-kira 70 peratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah meninggalkan parti itu dan tidak akan memberi sokongan kepada kepemimpinan parti tersebut.  

Itu anggaran yang diberitahu Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz  Mahathir yang menjelaskan perkara itu sudah berlaku apabila perwakilan Bersatu sendiri pernah menyuarakan ketidakpuasan hati menerusi beberapa usul cadangan yang pernah dibangkitkan dahulu.

Menurutnya, situasi lebih kronik apabila parti yang memperjuangkan agenda kepentingan Melayu dan Islam itu pernah menyuarakan hasrat membuka keahlian kepada bukan bumiputera menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu sejak tahun lalu.

“Berdasarkan Mesyuarat Agung Tahunan parti Bersatu yang diadakan pada November tahun lalu, ramai yang tidak bersetuju sampai menjerit-jerit kerana usul mahu melantik bukan Melayu (ahli bersekutu) ke jawatan-jawatan khas atau biro seperti ekonomi dan pendidikan bagi mendapatkan idea bernas itupun ditentang hebat.  

 “Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau Presiden Bersatu yang sekarang ini menyatakan dia nak buka keahliannya kepada bukan Melayu,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Sementara itu, Mukhriz yang merupakan Ahli Parlimen Jerlun berharap, permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti akan diterima oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) walaupun perlu menunggu masa selama sebulan bagi mendapatkan kelulusan itu.

“Sekarang ini sudah 14 hari selepas kita hantar pendaftaran, kita sudah tanya ROS tetapi masih dalam proses penapisan ke atas pengasas-pengasas parti. Kami tujuh orang (pimpinan tertinggi) bukannya tidak kenal, hendak tapis apa lagi?

“Satu lagi, mengenai perlembagaan parti sangat mudah kerana tidak serumit UMNO dan Bersatu, kita harap tidak timbulkan banyak masalah kalau semua berjalan baik. Tapi tahulah menteri (Kementerian Dalam Negeri) main peranan dalam proses pengurusan,” jelasnya. -UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN