fbpx

4 Disember 2020, 10:00 pm

  TERKINI

4 daerah Sabah dikenakan Temco bersasar

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak empat daerah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) Bersasar bermula malam ini sehingga 12 Oktober ini.

Empat daerah itu ialah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna berikutan pertambahan mendadak kes positif Covid-19 sebanyak 1,195 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, ia merekodkan 241 kes di Lahad Datu, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Temco Bersasar di kawasan-kawasan ini melibatkan seramai 

962,661 penduduk.

“Pelaksanaan Temco Bersasar ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan perintah tersebut, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan Temco Bersasar itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan  penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan, malah kesemua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials).

Beliau menjelaskan, pengkalan perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan itu dan semua laluan keluar masuk kawasan Temco Bersasar ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut meminta penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut :

Lahad Datu : 089-881255

Tawau : 089-752222

Kunak : 089-851222

Semporna : 089-782020

-UTUSAN