Pernah kayuh basikal klasik tiga hari ke Putrajaya - Utusan Malaysia

Pernah kayuh basikal klasik tiga hari ke Putrajaya

AZIZAN Darus (depan) dan sebahagian penduduk Kampung Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang bersama basikal klasik yang dihiasi Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Minatnya terhadap basikal klasik telah lama berputik iaitu sejak di bangku sekolah dan semakin bercambah apabila menginjak ke usia dewasa.

Sehingga kini, walaupun menjangkau usia 62 tahun, Azizan Darus atau lebih mesra dengan nama panggilan ‘Abah’ dalam kalangan penduduk setempat di Kampung Bagan Ajam, di sini masih teruja untuk
bercerita jika ditanya mengenai ‘jentera dua roda’ tanpa enjin itu.

Bapa kepada dua anak itu juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila diminta mengimbas kembali memori bersama basikal klasik miliknya terutama menjelang sambutan kemerdekaan
saban tahun.

“Pernah sekali pada 2007, saya dan rakan-rakan seramai 15 orang berbasikal hingga ke Putrajaya untuk sambut merdeka.

“Disebabkan hanya diberi kebenaran oleh polis untuk berkayuh pada sebelah siang sahaja iaitu antara pukul 7 pagi hingga 7 malam, kami terpaksa mengambil masa sehingga tiga hari atau lebih 35 jam berbasikal sebelum sampai ke sana,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Memiliki 10 buah basikal klasik pelbagai jenama termasuk Hercules dan Raleigh bermula daripada keluaran tahun 1952, suami kepada Roziah Mat Saad itu tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu mengenai penjagaan basikal tersebut.

Katanya, untuk sambutan kemerdekaan kali ini, dia telah membelanjakan sehingga hampir RM500 semata-mata untuk menyelenggara kesemua basikal klasiknya selain memasang dan menghias Jalur Gemilang termasuk di sekitar kediamannya.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan persiapan (untuk menyambut kemerdekaan) kali ini dengan bantuan penduduk setempat walaupun sambutan pasti sederhana disebabkan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk setempat, Shamsidah Mohd. Noor, 48, percaya bahawa pandemik Covid-19 tidak menjejaskan sambutan kemerdekaan kali ini.

“Kami (penduduk kampung) sentiasa bekerjasama dengan Abah bagi memastikan sambutan kemerdekaan terus diingati,” kata anak jati Perak yang menetap di Pulau Pinang sejak 26 tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya