fbpx

24 September 2020, 5:21 pm

  TERKINI

Lanjutan moratorium: Segera ke bank bermula 7 Ogos

MOHD. Shahar Abdullah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-15 (Perkem) di Putrajaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang layak diminta segera ke institusi perbankan bagi mendapatkan kemudahan lanjutan moratorium pembayaran pinjaman dan bantuan bank bersasar mulai Jumaat ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, lanjutan moratorium itu terbuka kepada orang ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19 seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, masih tidak mendapat pekerjaan atau pendapatan dipotong.

Sehingga 20 Julai lalu, katanya, sebanyak RM62.8 bilion diperuntukkan bagi meringankan bebanan 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada jumlah keseluruhan peminjam.

“Kelewatan berbuat demikian (ke bank) dikhuatiri menjejaskan proses sekali gus menyebabkan mereka perlu membayar pinjaman pada Oktober ini.

“Kita risau kemampuan bank untuk melulus dan menguruskan permohonan mengambil sedikit masa, justeru mereka harus segera ke bank-bank supaya mempercepatkan proses,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-15 (Perkem) di sini hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada penularan pandemik Covid-19 dan yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Muhyiddin ketika pengumuman itu turut berkata, selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Mohd. Shahar berharap rakyat yang menerima bantuan moratorium itu dapat menggunakan ruang dan peluang diberikan kerajaan dengan baik serta berhemah.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluh resah mereka. Mereka juga harus bertanggungjawab kepada diri sendiri untuk hadir ke bank dan membuat lanjutan moratorium,” ujarnya. – UTUSAN